TEHRAN – Perunding utama Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menyifatkan keputusan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) sebagai mesej jelas rakyat yang menolak konflik ketenteraan dengan Iran, susulan kekalahan besar Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump.
Speaker Parlimen Iran itu menerusi platform X berkata, pengundi Amerika telah menyampaikan mesej “tidak kepada perang”, sambil menegaskan Tehran menyambut baik pendirian tersebut.
Beliau turut memberi amaran bahawa Iran akan memberikan tindak balas tegas sekiranya pentadbiran Washington mengabaikan kehendak rakyat dan meneruskan tekanan ketenteraan terhadap negaranya.
Sementara itu, Trump mengakui konflik dengan Iran serta kenaikan harga petrol antara faktor yang mempengaruhi prestasi calon Republikan dalam pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak menyesali keputusan melancarkan serangan bersama Israel terhadap Iran pada Februari lalu.
Dalam perkembangan sama, Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei memberi amaran bahawa konflik itu berpotensi berkembang menjadi perang lebih besar sekiranya tercetus semula.
Usaha rundingan bagi menamatkan konflik masih diteruskan, namun belum menunjukkan perkembangan ketara susulan perbezaan pendirian antara kedua-dua negara.
Sumber: Astro AWANI / Agensi
