DOHA, QATAR – Malaysia mencatat pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur digital apabila rangkaian 5G kedua negara berjaya mencapai liputan 90 peratus pada Oktober lalu, sembilan bulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu membuktikan kemajuan Malaysia dalam melaksanakan model dwirangkaian 5G bagi meningkatkan persaingan, menarik pelaburan serta memperkukuh kualiti perkhidmatan telekomunikasi negara.
Menurut beliau, kerajaan turut melaksanakan pelaburan besar melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sejak 2020 bagi memperluas akses internet berkelajuan tinggi kepada rakyat.
Setakat Julai 2026, kira-kira 10.12 juta premis di seluruh negara telah mendapat liputan rangkaian gentian optik, sekali gus meningkatkan akses kepada perkhidmatan jalur lebar.
Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Forum Kepimpinan Digital sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026, pada Ahad.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur digital bukan sekadar memperluas liputan rangkaian, malah perlu memastikan kualiti perkhidmatan, kemampuan melanggan serta daya tahan rangkaian terus dipertingkatkan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus menggalakkan perkongsian infrastruktur bagi mengurangkan jurang kesalinghubungan, khususnya di kawasan yang kurang mendapat liputan telekomunikasi.
Fahmi turut mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU PP-26) di Doha, yang berlangsung dari 6 hingga 11 November.
Lawatan berkenaan turut menjadi platform bagi usaha Malaysia mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU untuk penggal 2027 hingga 2030.
Sumber: Bernama
