WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengakui perang dengan Iran memberi kesan kepada prestasi Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal, namun tetap mempertahankan keputusan melancarkan operasi ketenteraan terhadap negara itu.

Trump berkata, tindakan ketenteraan berkenaan perlu diteruskan bagi menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.

Beliau turut mengakui konflik itu menyumbang kepada kenaikan harga petrol, yang menjadi antara faktor mempengaruhi sokongan pengundi sehingga Parti Demokrat mencatatkan peningkatan dalam pilihan raya tersebut.

Mengulas kenyataan Naib Presiden JD Vance yang menyifatkan perang Iran sebagai punca kekalahan Republikan, Trump berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan pandangan berkenaan.

Bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa beliau tidak akan mengubah keputusan ketenteraan yang telah dibuat dan akan mengambil tindakan sama sekiranya berdepan situasi serupa.

Beliau turut mendakwa Republikan berkemungkinan memperoleh keputusan lebih baik sekiranya beliau sendiri bertanding dalam pilihan raya itu, sambil menyatakan sokongan yang diterimanya ketika kempen gagal diterjemahkan kepada calon-calon parti lain.

Sumber: Astro AWANI / Agensi