KUALA LUMPUR, 10 November – Aspek keselamatan siber menjadi antara keutamaan dalam pembangunan portal rasmi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 Tahun 2027 bagi memastikan platform digital itu dilindungi daripada ancaman penggodaman.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pembangunan portal berkenaan perlu mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang ancaman siber sepanjang temasya berlangsung.
Portal rasmi tersebut dilancarkan sebagai platform digital utama untuk menyampaikan maklumat berkaitan penganjuran kedua-dua temasya sukan berkenaan.
Selain aspek keselamatan, portal itu turut dilengkapi kemudahan kemas kini secara masa nyata bagi membolehkan keputusan pertandingan dan kutipan pingat dipaparkan sebaik sahaja acara selesai.
Dr Mohammed Taufiq turut menegaskan bahawa portal berkenaan perlu mesra pengguna, mesra media serta mudah diakses oleh semua pihak tanpa kelewatan atau masalah teknikal yang tidak diingini.
Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027, manakala Sukan Para ASEAN 2027 akan berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027.
Sumber: Bernama Radio
