KUALA LUMPUR, 11 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi perhatian terhadap aspek kebolehcapaian dan penyediaan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dalam setiap projek pembinaan baharu serta kerja naik taraf kemudahan sukan di bawah kementerian itu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk atlet para, dapat menikmati kemudahan sukan yang selamat, sesuai dan inklusif.

Menurut beliau, aspek yang diberi perhatian dalam perancangan dan reka bentuk projek termasuk laluan tanpa halangan, tanjakan kerusi roda, tandas mesra OKU serta tempat letak kenderaan khas.

Penyediaan kemudahan tersebut turut mengambil kira kesesuaian penggunaan oleh golongan OKU, termasuk di kawasan luar bandar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid pada persidangan Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, kerja penambahbaikan kemudahan sukan sedia ada bagi menyediakan akses mesra OKU turut dipertimbangkan dan dilaksanakan mengikut keperluan.

KBS komited meningkatkan kebolehcapaian kemudahan sukan bagi menggalakkan penyertaan golongan OKU dalam aktiviti sukan, termasuk di peringkat akar umbi.

Sumber: Portal Berita RTM