KUALA LUMPUR – Institusi media arus perdana digesa supaya tidak bersikap defensif terhadap perkembangan pencipta kandungan bebas dan media digital, sebaliknya membuka lebih banyak ruang kerjasama bagi memastikan industri penyiaran negara terus relevan.

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail berkata, perkembangan teknologi telah mengubah landskap penyampaian maklumat apabila orang ramai kini mampu menghasilkan dan menyebarkan kandungan sendiri menerusi telefon pintar.

Menurut beliau, era pergantungan kepada satu saluran televisyen sebagai sumber utama maklumat sudah berubah, sekali gus membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk menyampaikan perspektif masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam episod sulung program bual bicara Meet Jo-Black Podcast yang dikendalikan Jo-anna Henley Rampas dan Amin Iskandar.

Ashwad turut menjelaskan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia bekerjasama dengan pemain industri baharu termasuk penerbit podcast dan pempengaruh digital.

Tambah beliau, gabungan disiplin kewartawanan media tradisional dengan kreativiti serta kepantasan media baharu mampu memperkukuh industri media tempatan dan mengangkat identiti Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sumber: Astro AWANI