PUTRAJAYA, 5 November – Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) mencatat kejayaan membanggakan apabila Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Idea Forge, meraih dua gelaran johan menerusi projek inovasi Bio-Structured Oil Absorbent (B-SOA) sempena Hari Inovasi Negara Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2026.
Projek berkenaan berjaya merangkul Johan Kategori Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
Lebih membanggakan, B-SOA turut dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Inovasi Peringkat KBS, dengan tambahan hadiah wang tunai RM5,000. Secara keseluruhan, pasukan IKSN membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.
B-SOA merupakan inovasi yang menggunakan habuk kayu daripada sisa bengkel sebagai bahan penyerap tumpahan minyak, berteraskan konsep Turning Waste into Value.
Inovasi itu menggabungkan kreativiti teknikal, penyelidikan gunaan dan kelestarian alam sekitar melalui penggunaan semula bahan buangan sebagai sumber bernilai tambah.
Selain membantu menangani isu pengurusan sisa, teknologi tersebut turut berpotensi diaplikasikan dalam sektor automotif dan sukan permotoran sebagai alternatif bahan penyerap tumpahan minyak.
Kejayaan ini mencerminkan keupayaan warga IKSN dalam menghasilkan inovasi yang berasaskan penyelesaian kepada permasalahan sebenar, selain membuka peluang kepada pembangunan produk, kerjasama industri dan potensi pengkomersialan pada masa hadapan.
Sumber: Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN), 5 November 2026.
