KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam kerajaan.
Menurut beliau, perbezaan tersebut merupakan sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar yang mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan setiap kementerian.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat serta kemampuan kewangan negara.
Anwar menjelaskan bahawa perkara yang memerlukan keputusan bersama akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama dalam pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di portal Parlimen bagi menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perbezaan pendirian antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berhubung beberapa isu baru-baru ini.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian serta memantau pelaksanaan dasar bagi memastikan setiap inisiatif memberikan manfaat kepada rakyat.
Sumber: Astro AWANI / Bernama
