KUALA LUMPUR – Tiket ke Malam Manifesto KUDRAT 1968 habis dijual dalam tempoh kurang satu jam selepas jualan dibuka, membuktikan sambutan peminat terhadap filem terbaharu dalam dunia High Council.
Menurut laporan Gempak, Astro Shaw menawarkan dua pakej istimewa, iaitu Film Premiere Experience pada harga RM100 untuk dua orang dan Red Carpet Experience pada harga RM50 untuk dua orang.
Pakej Film Premiere Experience merangkumi akses ke karpet merah serta tayangan perdana filem, dengan hanya 250 pembelian ditawarkan. Sementara itu, pakej Red Carpet Experience membolehkan peminat menyaksikan kemunculan barisan pelakon di karpet merah, dengan kuota terhad kepada 100 pembelian.
Filem KUDRAT 1968: High Council merupakan prekuel kepada dunia High Council, yang mengisahkan permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.
Filem terbitan Astro Shaw itu diarahkan oleh Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff dan dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes serta Akmal Asyraf.
Filem berkenaan dijadualkan mula ditayangkan di pawagam pada 29 Oktober 2026.
Sumber: Astro AWANI
