GENTING HIGHLANDS – Tourism Malaysia dengan kerjasama Astro Gempak menganjurkan program MY Escape 2026 bagi memperkenalkan kepelbagaian tarikan pelancongan Pahang kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.

Program yang berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober itu menghimpunkan 24 wakil media, pemimpin pendapat utama (KOL) dan pencipta kandungan digital dari Malaysia serta beberapa negara serantau, termasuk China, Laos, Filipina, Vietnam dan Indonesia.

Sepanjang program, peserta akan meneroka beberapa destinasi menarik seperti Genting Highlands, Bentong, Kuala Gandah, Kuantan dan Cherating menerusi aktiviti yang mengetengahkan keindahan alam semula jadi, hidupan liar, gastronomi serta budaya tempatan.

Antara aktiviti yang dirancang termasuk pengalaman bersama gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, cabaran Sky Walk di Kuantan 188 serta aktiviti seni dan kitar semula di Cherating.

Program ini turut mempromosikan konsep pelancongan pandu sendiri atau Fly & Drive, yang menggalakkan pelancong meneroka destinasi mengikut keselesaan masing-masing.

Inisiatif tersebut diharap dapat memperluas promosi tarikan pelancongan Pahang dan menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.

Sumber: Bernama