PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan RM1.19 juta menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi menghargai pencapaian atlet dan persatuan sukan Wilayah Persekutuan sepanjang 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, insentif itu mengiktiraf disiplin, komitmen dan pengorbanan atlet serta pegawai sukan.

Kontinjen Wilayah Persekutuan mengekalkan kedudukan naib juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali kedua berturut-turut selepas meraih 157 pingat, termasuk 51 emas. Kontinjen itu turut memecahkan empat rekod kejohanan.

Pada Para SUKMA Selangor 2026, Wilayah Persekutuan menduduki tempat keenam keseluruhan dengan 49 pingat, termasuk 13 emas.

Buat julung kalinya, atlet para menerima insentif pada kadar yang sama dengan atlet SUKMA bagi pingat yang setara. Peruntukan itu turut meliputi pencapaian pada Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Para Asia.

Sumber: Astro AWANI / Bernama