SINTOK – Pengalaman mengurus krisis COVID-19 kini didokumentasikan dalam bentuk kajian akademik apabila bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob, menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ijazah itu disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-39 di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok, hari ini. Ismail Sabri ialah antara 451 graduan yang menerima ijazah sarjana dan PhD dalam majlis berkenaan.

Tesis beliau bertajuk Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik COVID-19. Kajian itu diselia oleh Prof. Dr. Rusdi Omar dan Prof. Madya Dr. Che Mohd Aziz Yaacob, dengan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw sebagai penyelia luar.

Tempoh kajian merangkumi fasa ketika Ismail Sabri mengetuai portfolio keselamatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan, dari 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021. Beliau kemudian turut memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dari 7 Julai hingga 16 Ogos 2021, sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021. Tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri berakhir pada 10 Oktober 2022.

Kejayaan itu melengkapkan perjalanan akademiknya yang bermula dengan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dengan Kepujian di Universiti Malaya dari 1980 hingga 1984. Beliau diterima masuk ke badan peguam pada 1985. Pada 2022, beliau turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Universiti Nihon di Jepun.

Sebelum menyertai Jemaah Menteri, Ismail Sabri pernah memegang beberapa jawatan korporat, termasuk Pengerusi Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil dari 2003 hingga 2006, Pengerusi Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. dari 2007 hingga 2008, dan Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad pada 2008.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 2008 hingga 2009, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dari 2009 hingga 2013, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2013 hingga 2015, serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2015 hingga 2018.

Dalam kerjaya politiknya, beliau pernah menjadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dari Mac 2019 hingga Februari 2020. Beliau juga mengetuai UMNO Bahagian Bera sejak 2004 dan pernah menjadi Naib Presiden UMNO dari 2018 hingga 2023.

Selepas memegang jawatan Perdana Menteri, Ismail Sabri meneruskan khidmat masyarakat sebagai Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia sejak Oktober 2021. Beliau turut menjadi penaung beberapa pertubuhan, antaranya Pertubuhan UAV Dunia, Persatuan Muafakat One Belt One Road dan Persatuan Rantaian Peruncitan & Francais ASEAN.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, serta Ahli Lembaga Pengarah UUM, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.