BERLIN – Kesatuan sekerja IG Metall melancarkan mogok amaran selama 24 jam pada Jumaat selepas tiga pusingan rundingan gaji dan jaminan pekerjaan gagal mencapai persetujuan.
Ribuan pekerja menghentikan kerja di beberapa kawasan perindustrian, termasuk di kilang BMW dan Audi di Bavaria, kilang pembekal di Baden-Württemberg serta limbungan kapal di utara Jerman. Sebahagian pekerja mula mogok ketika syif malam Khamis.
IG Metall menuntut kenaikan gaji lima peratus serta komitmen yang mengikat daripada majikan untuk melindungi pekerjaan dan mengekalkan kemudahan pengeluaran. Kesatuan itu turut meminta faedah tambahan untuk pekerja bergaji rendah.
Majikan pula mencadangkan bayaran sekali gus bersamaan kira-kira satu peratus daripada gaji kasar tahunan pada Julai 2027, diikuti kenaikan gaji tetap 1.3 peratus mulai Julai 2028.
Perjanjian kolektif yang dirundingkan meliputi kira-kira 3.7 juta pekerja di seluruh Jerman. Ini merupakan mogok amaran sehari penuh pertama anjuran IG Metall dalam tempoh lapan tahun. Setakat laporan diterbitkan, pusingan rundingan keempat masih belum dijadualkan.
Sumber: Awani
