ISTANBUL – Jepun bersetuju membeli sehingga lapan juta tong minyak mentah dari Arab Saudi bagi mengisi semula rizab petroleum negara itu, tertakluk kepada keadaan pasaran.
Persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat maya antara Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Ryosei Akazawa.
Menurut kenyataan bersama yang disiarkan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), kapasiti simpanan minyak yang boleh digunakan Arab Saudi di Jepun akan meningkat buat sementara waktu daripada lapan juta kepada 16 juta tong. Arab Saudi juga sudah mula mengisi semula stoknya di kemudahan simpanan di Jepun.
Jepun sebelum ini menggunakan rizab kecemasan susulan gangguan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz. Aliran minyak dari negara pengeluar di Teluk kini hampir kembali ke paras sebelum perang, sekali gus memberi ruang kepada Jepun untuk menambah stok.
Bagi Arab Saudi, penyimpanan minyak di Jepun membolehkan bekalan ditempatkan lebih dekat dengan pelanggan di Asia sekiranya laluan penghantaran itu terganggu lagi.
Sumber: Awani / Bernama–Anadolu
