PUTRAJAYA, 21 November 2026 – Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Persidangan Negara Bangsa 2026 pada 30 November hingga 2 Disember 2026 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan penyertaan dijangka mencecah 5,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Persidangan ini merupakan antara inisiatif penting Kementerian dalam memperkukuh agenda Pembinaan Negara Bangsa melalui penghayatan sejarah, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta pembentukan identiti nasional yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

Persidangan selama tiga hari ini akan menghimpunkan tokoh akademik terkemuka negara, ahli sejarah, pakar pelbagai bidang serta pemimpin masyarakat bagi membincangkan empat tema utama, iaitu:

  1. Perlembagaan dan Rukun Negara Teras Pembinaan Negara Bangsa;
  2. Warisan dan Sejarah: Akar Identiti Nasional;
  3. Kepelbagaian, Keharmonian dan Kesepaduan Sosial; dan
  4. Transformasi Negara Bangsa: Naratif Nasional, Ekonomi Inklusif dan Modal Insan.

Antara pengisian utama persidangan ialah Syarahan Negarawan yang akan disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, yang dijangka memberikan perspektif penting mengenai kenegaraan, perpaduan dan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

Majlis Perasmian Penutup Persidangan Negara Bangsa 2026 dijadualkan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, pada 2 Disember 2026. Kehadiran YAB Perdana Menteri mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menjadikan agenda Pembinaan Negara Bangsa sebagai keutamaan nasional.

Penganjuran persidangan ini bukan sekadar menyediakan platform wacana akademik, sebaliknya menjadi medan pertemuan pemikiran, pengalaman dan aspirasi pelbagai pihak dalam membentuk kefahaman serta kesepakatan bersama mengenai hala tuju pembinaan negara bangsa.

Dalam konteks Malaysia yang memiliki kepelbagaian etnik, agama, budaya dan bahasa, usaha membina negara bangsa perlu berpaksikan nilai kebersamaan, semangat kekitaan, rasa kepunyaan terhadap negara serta identiti nasional yang menyatukan seluruh rakyat tanpa menghakis keunikan kepelbagaian sedia ada.

Kementerian Perpaduan Negara menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, mahasiswa dan generasi muda, untuk bersama-sama menyertai Persidangan Negara Bangsa 2026 serta mengambil bahagian secara aktif dalam wacana mengenai masa depan negara.

Golongan belia merupakan ejen utama pembinaan negara bangsa. Sebagai pewaris kepimpinan dan penentu masa depan negara, generasi muda bukan sekadar perlu memahami sejarah dan asas kenegaraan, malah harus menjadi penggerak dalam membentuk identiti nasional, menyemai semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian.

Pembinaan negara bangsa bukan hanya tanggungjawab Kerajaan, tetapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia. Justeru, penglibatan aktif generasi muda amat penting bagi memastikan aspirasi membina sebuah Bangsa Malaysia yang bersatu padu, beridentiti nasional dan mempunyai semangat kebersamaan dapat diteruskan merentasi generasi.

Kementerian berharap hasil perbincangan dan pandangan yang diketengahkan sepanjang persidangan ini dapat menjadi input strategik dalam memperkaya pelaksanaan agenda Pembinaan Negara Bangsa, sekali gus memperkukuh komitmen seluruh lapisan masyarakat ke arah pembentukan sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan mempunyai jati diri nasional yang kukuh.

MENTERI PERPADUAN NEGARA