KUALA LUMPUR – Cadangan menubuhkan Tribunal Hak Asasi Manusia kini di peringkat akhir, dengan rang undang-undang berkaitan dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, tribunal itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) serta mengurangkan beban kos guaman kepada orang ramai.
Menurut beliau, banyak laporan Suhakam sebelum ini kurang mendapat perhatian, termasuk di Parlimen. Kerajaan MADANI memperuntukkan masa khusus bagi membolehkan laporan berkenaan dibahaskan, namun kekurangan mekanisme penguatkuasaan masih menjadi halangan utama.
Beliau berkata, proses membawa kes hak asasi manusia melalui sistem mahkamah sedia ada boleh mengambil masa lama dan melibatkan kos yang tinggi. Baginya, penubuhan dan pengendalian tribunal itu boleh dilaksanakan pada kos yang berpatutan.
Kulasegaran berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang Malaysia 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia pada Jumaat.
Sumber: Awani / Bernama
