WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membatalkan lebih 300,000 visa sepanjang penggal keduanya, menurut Jabatan Negara AS pada Selasa.
Angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding lebih 175,000 visa yang dilaporkan dibatalkan pada Ogos lalu, ketika pentadbiran Trump meneruskan usaha memperketat dasar imigresen negara itu.
Jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott, berkata tindakan berkenaan menyasarkan warga asing yang melanggar undang-undang, melakukan penipuan atau dianggap mengancam keselamatan negara.
Bagaimanapun, langkah itu menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia yang membangkitkan kebimbangan mengenai hak mendapatkan proses undang-undang yang sewajarnya, kebebasan bersuara dan kemungkinan berlakunya pemprofilan berdasarkan kaum.
Antara kes yang mencetuskan kontroversi ialah pembatalan visa melibatkan penunjuk perasaan pro-Palestin serta warga asing yang dikaitkan dengan komen di media sosial.
Pentadbiran Trump turut memperketat pemeriksaan media sosial terhadap pendatang dan pemohon visa sebagai sebahagian daripada dasar kawalan imigresen yang lebih ketat.
Sumber: Astro AWANI
