Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) untuk perkhidmatan awam berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026. Pegawai yang layak bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah atau lokasi lain yang diluluskan setiap minggu.
Pelaksanaannya tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian tugas dan syarat yang ditetapkan. Ketua jabatan bertanggungjawab mengenal pasti pegawai yang layak. Menurut pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), aturan itu tidak memerlukan permohonan atau arahan individu, namun pegawai boleh dipanggil ke pejabat pada hari BDR jika ada keperluan.
Hari kehadiran wajib berbeza mengikut cuti hujung minggu negeri. Bagi negeri yang bercuti pada Sabtu dan Ahad, pegawai perlu hadir ke pejabat pada Isnin dan Jumaat. Di Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang hujung minggunya jatuh pada Jumaat dan Sabtu, hari wajib hadir ialah Ahad dan Khamis.
Tempoh bekerja kekal sembilan jam sehari termasuk waktu rehat. Pegawai boleh bekerja di rumah atau lokasi lain yang selamat dan sesuai, dengan kelulusan ketua jabatan serta jarak yang membolehkan mereka hadir ke pejabat dalam tempoh munasabah apabila diarahkan.
JPA menyatakan HBH menggantikan aturan BDR yang diperkenalkan susulan konflik di Asia Barat. Dasar itu bertujuan memberi aturan kerja lebih fleksibel tanpa mengurangkan waktu bekerja atau menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam.
