CYBERJAYA – Program AI untuk Rakyat mula dilaksanakan secara berfasa pada 31 Ogos 2026 melalui portal Rakyat Digital, dengan sasaran memberi manfaat kepada 100,000 belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun sehingga 2027.

Peserta yang melengkapkan dan lulus semua modul pembelajaran yang ditetapkan layak menerima langganan percuma selama tiga bulan kepada aplikasi AI terpilih. Program ini terbuka kepada warganegara Malaysia dalam lingkungan umur berkenaan.

Kurikulum program merangkumi enam modul: AI Nation 2030: Pendekatan MADANI, CYBERSAFE untuk Rakyat, AI Generatif, Keselamatan AI, Agentik AI untuk Semua dan Cloud untuk Rakyat.

Antara aplikasi yang ditawarkan pada peringkat awal ialah IlmuChat daripada YTL AI Labs, Wonderclip dan MuleRun daripada Alibaba, serta Gemini Enterprise daripada Google. Kementerian Digital memaklumkan aplikasi dan perisian AI tambahan daripada penyedia lain akan diperkenalkan secara berperingkat.

Program itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai salah satu daripada enam inisiatif untuk meluaskan peluang digital kepada belia. Portal Rakyat Digital, yang diterajui Kementerian Digital melalui MyDIGITAL Corporation, menyediakan platform pembelajaran bagi membantu peserta memahami dan menggunakan AI secara bertanggungjawab.