PUTRAJAYA, 6 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan kelulusan bersyarat bagi penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kelulusan itu diberikan selepas pihak penganjur bersetuju mematuhi sepenuhnya Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat.
Menurut beliau, kelulusan berkenaan diberikan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), tertakluk kepada pematuhan semua syarat yang ditetapkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
KBS turut akan memantau pematuhan terhadap semua syarat berkenaan sepanjang acara berlangsung.
Sebelum ini, KBS menegaskan bahawa kelulusan penganjuran tidak akan diberikan sekiranya penajaan daripada syarikat minuman beralkohol bagi acara berkenaan tidak ditarik balik sepenuhnya.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, penganjuran acara kecergasan seperti HYROX wajar diteruskan bagi menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Acara tersebut dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Sumber: Portal Berita RTM
