BANDAR PERMAISURI – Masjid At-Taqwa di Kampung Beris Tok Ku, Jalan Permaisuri, Setiu, musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohamad Sapawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.57 pagi.
Menurut beliau, kebakaran melibatkan keseluruhan bangunan masjid jenis separuh kekal berkenaan, namun kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.
Operasi pemadaman melibatkan 11 anggota dari BBP Setiu dengan bantuan anggota BBP Jerteh bagi mengawal dan memadam kebakaran.
Operasi berkenaan berjaya diselesaikan pada jam 5.59 pagi.
Bagaimanapun, maklumat lanjut berhubung punca kebakaran serta jumlah kerugian masih belum diperincikan.
Sumber: Astro AWANI
