TOKYO – Jepun mengesahkan kes pertama selesema burung bagi musim ini selepas jangkitan virus berkenaan dikesan di sebuah ladang ternakan ayam di Wilayah Kyoto.

Menurut Kementerian Pertanian Jepun, sebanyak 14 ekor ayam dilaporkan mati akibat jangkitan tersebut di sebuah ladang yang terletak di bandar Kameoka, barat Jepun.

Susulan pengesahan wabak itu, pihak berkuasa tempatan memulakan operasi pelupusan kira-kira 200,000 ekor ayam sebagai langkah segera bagi mengawal penularan virus daripada merebak ke ladang ternakan lain.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara, turut menggesa semua penternak unggas di seluruh negara supaya meningkatkan tahap kebersihan serta memperketatkan langkah biosekuriti bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Beliau menekankan kepentingan langkah pencegahan yang berterusan dalam memastikan wabak berkenaan dapat dikawal, khususnya dalam kalangan pengusaha industri ternakan unggas.

Bagaimanapun, Kementerian Pertanian Jepun masih belum mendedahkan jenis strain virus selesema burung yang dikenal pasti dalam kejadian tersebut.

Jepun lazimnya mempertingkatkan pemantauan terhadap ladang ternakan unggas ketika musim migrasi burung liar berikutan risiko penyebaran virus selesema burung yang dikaitkan dengan pergerakan burung migrasi.

Sumber: Astro AWANI