DOHA, QATAR – Malaysia sedang merangka pelan nasional bagi memperkukuh keselamatan siber negara dalam menghadapi ancaman teknologi komputer kuantum.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan agensi keselamatan serta pengendali telekomunikasi bagi membangunkan teknologi kriptografi pascakuantum.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi melindungi sistem digital dan infrastruktur maklumat kritikal negara daripada ancaman keselamatan masa depan.

Perkara tersebut disampaikan ketika Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, Qatar.

Sumber: Bernama