KLEBANG, MELAKA, 4 November 2026 – Seramai 163 ahli pertubuhan belia menyertai Program Sembang Belia: Syoknya Berpersatuan Bersama Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, bagi memperkukuh penglibatan serta pembangunan organisasi belia.
Program anjuran Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) itu menyediakan platform santai untuk pemimpin dan ahli pertubuhan belia berkumpul, berkongsi idea serta mengemukakan pandangan berkaitan perkembangan organisasi masing-masing.
Program dimulakan dengan sesi bersama ROY, diikuti sesi bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka sebelum diteruskan dengan sesi borak santai bersama Menteri Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah Pendaftar Pertubuhan Belia, Hasnata Hasan dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Ahmad Syammeil Mohamad Karim.
Menerusi sesi interaksi tersebut, para peserta berpeluang menyampaikan idea dan pandangan secara langsung, selain mendapatkan maklum balas daripada kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan.
Program ini menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan antara kepimpinan kementerian dengan pertubuhan belia, sekali gus menggalakkan budaya berpersatuan dalam kalangan generasi muda.
Sumber: Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), KBS
