KULIM – Seorang wanita berusia 39 tahun maut selepas Proton Saga FL yang dipandunya bertembung dengan sebuah Tesla di Jalan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) 1, berhampiran Kilang Schott, malam Isnin.

Mangsa, Noor Lela Zainon, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala. Kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, berkata siasatan awal mendapati Tesla yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai tidak berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan kereta mangsa.

Tesla itu dalam perjalanan dari arah Lebuh Perdana menuju ke Naga Lilit, manakala Proton Saga FL yang dipandu mangsa datang dari arah Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) menuju ke Lebuh Perdana.

Pemandu Tesla, seorang jurutera, mengalami kecederaan pada tangan kanan. Polis akan memohon reman terhadapnya bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengenai dakwaan pemandu Tesla berada di bawah pengaruh alkohol, polis memaklumkan ujian telah dijalankan dan keputusan makmal masih ditunggu. Maka, dakwaan itu belum menjadi kesimpulan siasatan.

Sumber : BERNAMA