KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan menyebabkan rakyat menanggung beban percukaian secara menyeluruh, termasuk golongan berpendapatan rendah.

Menurut beliau, pihak yang memperjuangkan pengenalan semula GST sebenarnya mencadangkan supaya beban cukai dialihkan daripada sektor perniagaan dan pengeksport kepada pengguna.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan MADANI memilih untuk mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai asas sistem percukaian negara kerana pendekatan itu lebih tertumpu kepada sektor perniagaan berbanding GST yang melibatkan pengguna secara meluas.

Beliau menjelaskan bahawa kira-kira 2,000 jenis barangan dan perkhidmatan dikecualikan daripada cukai di bawah SST, berbanding kurang daripada 750 jenis di bawah sistem GST.

Katanya, kutipan hasil SST ketika ini menyumbang sebanyak 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kadar yang sama seperti kutipan GST pada 2017.

Justeru, beliau menolak tanggapan bahawa pengenalan semula GST semestinya mampu meningkatkan hasil kerajaan berbanding sistem percukaian sedia ada.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan bersedia mempertimbangkan penambahbaikan terhadap SST, khususnya bagi menangani isu cukai berganda yang mungkin berlaku dalam sektor tertentu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan semula GST hanya wajar dipertimbangkan apabila pendapatan minimum rakyat mencapai sekurang-kurangnya RM4,000.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil kira tekanan kos sara hidup yang masih dihadapi rakyat sebelum mempertimbangkan sebarang perubahan besar terhadap sistem percukaian negara.

Sumber: Astro AWANI / Bernama