KUALA LUMPUR – Mangsa banjir yang layak di Selangor bakal menerima bantuan tunai tambahan khas sebanyak RM2,500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR), dengan pembayaran dijangka bermula Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan secara sekali beri itu bertujuan meringankan beban mangsa yang mengalami kerosakan atau kehilangan barangan keperluan rumah akibat banjir.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa kaedah pelaksanaan serta syarat kelayakan bantuan berkenaan akan diumumkan oleh agensi pelaksana.
Bantuan RM2,500 itu merupakan tambahan kepada Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 yang disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut mengarahkan supaya pelaksanaan projek tebatan banjir dipercepatkan bagi menangani kejadian banjir berulang.
Sumber: Astro AWANI
