DUBAI – Lebih 310,000 peserta menyertai acara Dubai Run 2026 pada Ahad, sekali gus menjadikan lebuh raya Sheikh Zayed Road yang terkenal dengan kesibukan trafik bertukar menjadi laluan larian terbesar di bandar raya itu.

Acara berkenaan merupakan sebahagian daripada Dubai Fitness Challenge 2026 yang meraikan edisi ke-10 penganjurannya, dengan penyertaan keluarga, atlet profesional dan orang ramai daripada pelbagai peringkat umur.

Peserta diberikan pilihan dua laluan, iaitu sejauh lima kilometer (km) untuk keluarga dan peserta baharu, serta 10 km bagi mereka yang mahukan cabaran lebih jauh.

Laluan berkenaan turut melalui beberapa mercu tanda terkenal Dubai termasuk Museum of the Future, Burj Khalifa dan Dubai Water Canal.

Acara itu dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif melalui kempen 30 minit aktiviti fizikal setiap hari selama 30 hari.

Sumber: Awani