HULU LANGAT, 3 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan TVET 2.0 sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem latihan kemahiran belia negara menerusi empat teras utama.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, empat teras tersebut merangkumi latihan berasaskan industri dan tempat kerja, perkongsian pembiayaan antara kerajaan dengan industri, TVET sepanjang hayat serta pembangunan latihan dalam bidang teknologi tinggi dan kritikal.
Inisiatif itu turut diperkukuh melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan 21 syarikat industri bagi memperluas kerjasama strategik dalam pembangunan bakat belia.
Menurut beliau, kadar kebolehpasaran graduan ILKBS turut mencatatkan peningkatan kepada 97.36 peratus pada 2026, hasil pendekatan kurikulum yang mengimbangi 80 peratus latihan kemahiran teknikal dan 20 peratus pembangunan sahsiah serta jati diri.
Pelaksanaan TVET 2.0 menyasarkan persediaan lebih 15,000 pelatih di 21 institusi ILKBS seluruh negara untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan domestik, serantau ASEAN dan global.
Pada masa sama, KBS turut memberi perhatian kepada dasar keterangkuman dengan membuka peluang latihan kepada golongan rentan, termasuk wanita, Orang Kurang Upaya (OKU) dan individu autistik.
Sumber: Bernama
