KUCHING – Suspek yang dipercayai menyerang seorang guru sehingga cedera di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching pada Rabu lalu masih menerima rawatan di hospital.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, pihak polis akan meneruskan siasatan dengan mengambil kira keadaan kesihatan suspek serta nasihat dan penilaian pegawai perubatan.

Menurut beliau, sebanyak 24 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional, teliti dan menyeluruh berdasarkan keterangan serta bukti yang diperoleh.

Orang ramai juga diminta menghormati privasi semua pihak yang terlibat serta tidak menyebarkan identiti, gambar atau maklumat peribadi, khususnya individu bawah umur.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.

Sumber: Astro AWANI