BEIJING – China buat pertama kalinya mencatatkan nisbah tanggungan warga emas yang melebihi kanak-kanak, mencerminkan perubahan demografi ketara di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Menurut data rasmi Biro Statistik Kebangsaan China, nisbah tanggungan warga emas berusia 65 tahun ke atas meningkat kepada 23 peratus pada 2025, mengatasi nisbah kanak-kanak yang berada pada 22 peratus.
China kini mempunyai lebih 223 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas, berbanding kira-kira 213 juta kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah.
Perubahan itu dikaitkan dengan kadar kelahiran yang terus merosot, peningkatan jangka hayat serta kesan dasar seorang anak yang dilaksanakan dari 1980 hingga 2015.
Keadaan tersebut dijangka meningkatkan tekanan terhadap sistem pencen, penjagaan kesihatan dan sokongan keluarga, terutama apabila jumlah penduduk usia bekerja semakin mengecil.
Bagaimanapun, peningkatan populasi warga emas turut membuka peluang kepada perkembangan ekonomi perak, termasuk perkhidmatan penjagaan, kesihatan dan produk khusus untuk golongan berusia.
Sumber: Astro AWANI / Agensi
