MONTREAL – Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mengesahkan beliau mengadakan perbualan positif dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi membincangkan hubungan perdagangan kedua-dua negara yang sebelum ini tegang susulan pelaksanaan tarif.

Carney menerusi kenyataan di media sosial berkata, perbincangan itu merupakan kesinambungan rundingan membina berhubung kerangka perjanjian perdagangan yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Menurut beliau, pasukan rundingan Kanada dan AS akan bekerjasama dalam beberapa minggu akan datang bagi memuktamadkan cadangan perjanjian berkenaan.

Trump turut mengesahkan perbincangan itu dan menyifatkan kedua-dua negara kini mempunyai konsep perjanjian yang baik, termasuk potensi memberi manfaat kepada sektor pertanian dan ekonomi masing-masing.

Ketegangan perdagangan sebelum ini tercetus selepas kedua-dua negara mengenakan tarif terhadap barangan bernilai berbilion dolar, sekali gus menjejaskan hubungan ekonomi antara rakan dagang utama Amerika Utara itu.

Trump turut menyebut kemungkinan projek saluran paip Keystone XL dimasukkan dalam kerangka perjanjian baharu, namun butiran dan syarat perjanjian masih belum dimuktamadkan.

Sumber: Astro AWANI / Agensi