TOKYO – Bekas Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda, meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat kegagalan jantung di sebuah hospital di Tokyo pada 22 Oktober lalu.
Menurut laporan media Jepun, kematiannya diumumkan secara rasmi oleh Parti Liberal Demokratik (LDP) pada Isnin selepas urusan pengebumian keluarga selesai dijalankan.
Fukuda menerajui Jepun dari September 2007 hingga September 2008 selepas menggantikan Shinzo Abe yang meletakkan jawatan atas faktor kesihatan. Beliau kemudian berundur susulan kebuntuan politik di parlimen.
Beliau turut mencipta sejarah sebagai perdana menteri Jepun pertama yang mengikuti jejak bapanya, Takeo Fukuda, yang pernah memegang jawatan sama dari 1976 hingga 1978.
Sepanjang kerjaya politiknya, Fukuda dikenali sebagai tokoh sederhana yang berusaha memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi Jepun dengan negara jiran Asia, khususnya China dan Korea Selatan.
Selepas bersara daripada politik pada 2012, beliau terus memainkan peranan dalam usaha menggalakkan dialog dan memperbaiki hubungan antara Jepun dengan China.
Sumber: Astro AWANI
