KUALA LUMPUR, 12 November – Kerajaan membelanjakan sebanyak RM70 juta bagi menjayakan penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, penganjuran tersebut dilaporkan berjaya menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara berdasarkan maklumat daripada Formula One Management (FOM).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, perbelanjaan kerajaan itu merangkumi kos penyelenggaraan litar dan operasi SIC, manakala baki kos penganjuran ditanggung oleh pihak Bahrain.

Secara keseluruhan, kos penganjuran perlumbaan berkenaan di Malaysia dianggarkan berjumlah RM350 juta, termasuk yuran hak penganjuran dan persediaan litar.

Impak ekonomi yang dijana merangkumi sektor perhotelan, pelancongan, penerbangan antarabangsa, pengangkutan, makanan dan minuman, barangan serta perkhidmatan, termasuk operasi litar dan program Litar Rasa MADANI.

Selain itu, penganjuran berkenaan turut mewujudkan kira-kira 7,300 peluang pekerjaan, melibatkan sektor perniagaan, perkhidmatan pengunjung, operasi perlumbaan, infrastruktur serta pasukan dan penaja F1.

Bagaimanapun, laporan kajian impak ekonomi yang sedang dijalankan oleh firma perunding lantikan SIC akan memberikan penilaian lebih terperinci mengenai kos dan manfaat keseluruhan penganjuran tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia / Newswav