KUALA LUMPUR, 4 November – Kerajaan bersetuju dengan cadangan menganjurkan satu lagi temasya sukan kebangsaan sebagai platform pertandingan bagi merapatkan jurang pembangunan atlet selepas Sukan Malaysia (SUKMA), yang tertumpu kepada atlet bawah 21 tahun.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) keenam Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat itu turut bersetuju dengan pelaksanaan Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MyTP) bagi membentuk laluan pembangunan atlet yang lebih terancang, bersepadu dan berterusan.

Selain itu, beberapa perkara berkaitan pembangunan sukan negara turut dibincangkan, termasuk cadangan menetapkan 20 jenis sukan teras, pembangunan atlet e-sukan serta penyelarasan sukan olahraga dan renang dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi.

Mesyuarat JKPS turut meneliti cadangan menyemak semula kadar hadiah kemenangan dan ganjaran atlet, termasuk kemungkinan pemberian insentif tambahan kepada atlet yang meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.

Sumber: Bernama