KUALA LUMPUR, 11 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi menerusi program pencarian atlet berpotensi serta peningkatan akses kepada kemudahan sukan, termasuk di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), pelbagai program pembangunan bakat dan program pelapis dilaksanakan bagi mengenal pasti serta membimbing atlet berpotensi ke peringkat lebih tinggi.
Bagi menyokong pembangunan sukan komuniti tahun ini, kerajaan menyediakan RM20 juta menerusi Dana Sukan Komuniti dan RM30 juta bagi Geran Padanan Sukan untuk pelaksanaan aktiviti serta penganjuran kejohanan sukan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM13.325 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf empat kemudahan sukan di Rompin, Pahang.
Kemudahan terlibat ialah Kompleks Sukan Rakan Muda Sukan Air Rompin, padang bola sepak Kampung Kolam Rompin, gelanggang sepak takraw Kampung Ayer Batang serta Dewan Serbaguna Kompleks Majikan Negara Rompin.
Mordi berkata, setiap cadangan pembangunan kemudahan sukan baharu perlu mengikut prosedur ditetapkan, termasuk kelulusan kerajaan negeri bagi projek berskala besar dan pematuhan garis panduan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Sumber: Bernama
