PUTRAJAYA, 11 November – Kerajaan menaikkan kadar ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi pemenang pingat emas acara berpasukan Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel sebanyak 166.67 peratus, daripada RM15,000 kepada RM40,000 bagi setiap atlet.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kenaikan itu turut melibatkan ganjaran pingat perak daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala pingat gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.
Menurut beliau, kadar baharu yang diluluskan Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) itu berkuat kuasa mulai tahun ini dan akan diteruskan bagi temasya sukan akan datang.
Menariknya, kenaikan ini merupakan semakan pertama ganjaran acara berpasukan dalam tempoh 24 tahun sejak kadar asal ditetapkan pada 2002.
Pelaksanaan kadar baharu itu memberi manfaat kepada 66 atlet daripada 10 pasukan melibatkan enam jenis sukan, iaitu sepak takraw, skuasy, hoki, berbasikal trek, karate dan e-sukan.
Penambahbaikan tersebut melibatkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih. Jumlah keseluruhan ganjaran bagi tiga temasya sukan 2026 turut meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta.
Sumber: Bernama
