KUALA LUMPUR – Warisan budaya dan seni pertukangan Asia Tenggara berpotensi mengangkat industri fesyen sopan ke peringkat global menerusi gabungan elemen tradisional dengan reka bentuk kontemporari yang sesuai dengan cita rasa generasi muda.

Penasihat Gaya Hidup Fashionably Modest Asia (FMA) 2026, Andrew Tan berkata, pereka fesyen perlu mentafsir semula warisan budaya melalui potongan moden, teknik inovatif dan pendekatan kreatif tanpa mengetepikan nilai serta identiti asal sesuatu rekaan.

Menurut beliau, fesyen sopan kini tidak lagi terikat pada satu gaya tertentu, sebaliknya memberi ruang kepada individu untuk menampilkan identiti dan gaya peribadi melalui gabungan tradisi dengan reka bentuk moden.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Fashionably Modest Asia 2026 di Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Edisi kedua acara itu dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 November ini di Pavilion Arena, dengan penyertaan pereka dan jenama dari Malaysia, Singapura serta Indonesia.

Program selama tiga hari itu bakal menampilkan pertunjukan fesyen, koleksi pakaian sedia dipakai serta kolaborasi kreatif bagi memperluas peluang pereka tempatan dan serantau menembusi pasaran antarabangsa.

Sumber: Astro AWANI / Bernama