Golongan M40 yang selama ini sering merasakan diri mereka tersepit dengan kos sara hidup turut mendapat perhatian dalam Belanjawan 2027.
Antara yang diumumkan ialah kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain bantuan SARA sebanyak RM100 yang akan diberikan dua kali pada tahun depan kepada rakyat dewasa yang layak.
Walaupun bukan semua orang akan menerima manfaat yang sama, sekurang-kurangnya ada beberapa perubahan yang boleh membantu mengurangkan sebahagian perbelanjaan harian.
Salah satu perubahan terbesar ialah kenaikan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000 selepas 16 tahun tidak disemak.
Mudah cerita, kalau sebelum ini pelepasan asas individu ialah RM9,000, mulai tahun taksiran 2027 had itu meningkat kepada RM12,000.
Tapi jangan salah faham. Ini bukan bermakna kerajaan akan masukkan RM3,000 ke dalam akaun bank.
Pelepasan cukai bermaksud jumlah pendapatan yang dikenakan cukai boleh dikurangkan. Jadi, berapa banyak yang dapat dijimatkan bergantung kepada pendapatan dan kadar cukai masing-masing.
Bagi rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR dan memenuhi syarat, bantuan SARA MADANI RM100 akan diberikan sebanyak dua kali pada 2027.
Satu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan satu lagi menjelang Hari Kebangsaan.
Jumlahnya RM200 setahun.
Memang bukan jumlah yang besar jika dibandingkan dengan perbelanjaan bulanan, tetapi ia masih boleh digunakan untuk membeli sebahagian barangan keperluan.
Bantuan ini juga berbeza daripada SARA bulanan yang diterima oleh penerima STR mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Ada juga perubahan pada pelepasan cukai untuk beberapa perbelanjaan harian.
Antaranya pembelian kasut sukan, kelas tambahan anak, langganan perisian kecerdasan buatan (AI) dan beberapa perbelanjaan berkaitan penjagaan keluarga serta haiwan peliharaan.
Bagaimanapun, setiap kategori mempunyai had dan syarat tertentu. Jadi, bukan semua perbelanjaan boleh ditolak daripada cukai sesuka hati.
Bagi yang merancang membeli rumah pertama, pengecualian duti setem turut diumumkan.
Rumah berharga sehingga RM500,000 layak mendapat pengecualian penuh duti setem tertakluk kepada syarat.
Untuk rumah berharga lebih RM500,000 sehingga RM750,000, terdapat pengecualian dan pengurangan duti setem mengikut pecahan nilai yang ditetapkan.
Ini boleh membantu mengurangkan sebahagian kos awal pembelian rumah, walaupun pembeli masih perlu mengambil kira deposit, ansuran bulanan dan kos berkaitan yang lain.
Itu mungkin persoalan yang bermain dalam fikiran ramai.
Dengan harga barang, komitmen rumah, kereta, perbelanjaan anak dan kos kehidupan yang semakin mencabar, manfaat seperti pelepasan cukai dan SARA mungkin dapat membantu sedikit, tetapi tidak semestinya menyelesaikan semua tekanan kewangan.
Tambahan pula, manfaat pelepasan cukai bergantung kepada jumlah cukai yang perlu dibayar, manakala bantuan SARA pula tertakluk kepada kelayakan.
Apa pun, bagi yang layak, elok semak perubahan yang diumumkan supaya tidak terlepas manfaat apabila ia mula dilaksanakan pada 2027.
Sumber : Bernama
Foto : The Star
